Rancangan Astro, Battleground Malaysia: Road to Gold (#BTGMY) merupakan pertandingan sukan tarian ‘street dance' terbesar di Malaysia yang menampilkan penari-penari unggul negara, dan bakal menemui penonton mulai 29 September 2023, setiap Jumaat pada pukul 10 malam. Rancangan ini akan bersiaran menerusi Astro RIA, Vinmeen, Showcase dan Astro AEC.
Battleground Malaysia: Road to Gold merupakan inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan, dan diperkasakan oleh Rakan Muda yang diberi nafas baharu menerusi jenama gaya hidup Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik. Para peserta yang disenarai pendek daripada ratusan belia dari seluruh pelusuk negara, telah mengujakan para hakim ketika uji bakat on-ground di AEON Mall Shah Alam pada bulan Julai lalu.
Battleground Malaysia: Road to Gold yang disajikan kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira umur ataupun golongan etnik, akan dihoskan dalam tiga bahasa oleh Sherry Alhadad, Dennis Yin dan Saint TFC. Pelakon, pelawak dan penyanyi rap tersohor negara, Zizan Razak akan memegang tugasan sebagai juri.
Pertandingan ini memaparkan empat kapten tarian terkemuka yang ditugaskan untuk memilih kru seramai sepuluh orang berdasarkan kebolehan menari mereka. Kapten-kapten ini terdiri daripada pemenang pingat emas Sukan SEA acara Breaking Lego Sam, wakil Malaysia ke Sukan SEA Khenobu, ahli kumpulan muzik 3P (Threee Production) Danny Lee dan juara Astro Battleground 2010 & 2011 Seven. Mereka akan membentuk pasukan masing-masing dengan menguji kemahiran penari-penari yang bertanding menerusi pelbagai cabaran. Rancangan ini turut membawa penari-penari dari pelbagai latar belakang untuk bertarung dengan gaya ‘street dance’ mereka. Hanya penari yang terhandal akan kekal dalam pertandingan ini.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh, “Breaking merupakan sukan terkini yang diperkenalkan di Sukan Olimpik Paris 2024. Dengan kerjasama Astro menerusi Battleground Malaysia: Road to Gold, Kementerian amat komited untuk membantu para penari yang berbakat besar dengan memantapkan kemahiran mereka dalam bidang tarian serta mencungkil ramai lagi bakat yang boleh mewakili Malaysia di persada antarabangsa dalam sukan tarian termasuk di Sukan Olimpik kelak.”
“KBS berharap agar Battleground Malaysia: Road to Gold akan menjadi platform untuk mencungkil bakat belia Malaysia, memperkasakan mereka menerusi peluang, mentor dan latihan yang diberikan oleh ahli profesional yang berkaliber, dengan aspirasi untuk memupuk generasi baharu atlet Malaysia yang akan bersinar di pentas dunia.”
Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, “Kami berbangga kerana diberikan peluang ini untuk mencungkil dan mengembangkan bakat-bakat tarian bersama Kementerian Belia dan Sukan menerusi Battleground Malaysia: Road to Gold. Rancangan realiti menarik ini menguji para peserta ke tahap maksimum dengan memberikan mereka pelbagai cabaran menari. Dengan adanya kapten-kapten berpengalaman, mereka mampu berkongsi ilmu untuk mengasah kemahiran para penari untuk pergi lebih jauh. Kami tidak sabar untuk menobatkan juara pada peringkat akhir secara langsung kelak di hadapan para penonton termasuk para pelanggan Astro menerusi program Astro Rewards.”
Astro akan mengadakan grand finale secara langsung pada 3 November di mana hanya pasukan tarian terhandal akan bertanding di hadapan juri-juri antarabangsa. Kru juara akan membawa pulang RM100,000, manakala naib juara akan menerima RM30,000. Selain daripada itu, peserta-peserta dalam kru juara akan bersaing sesama sendiri untuk memenangi hadiah tambahan RM25,000.
Saksikan pertandingan sukan tarian ‘street dance’ terbesar di Malaysia, Battleground Malaysia: Road to Gold menerusi Astro RIA (Saluran 104), Vinmeen (Saluran 202) & SHOWCASE (Saluran 413) setiap hari Jumaat, 10 malam mulai 29 September. Saksikan jua di Astro AEC (Saluran 306) setiap Sabtu 11 malam mulai 30 September.