Saksikan Super Wira di Astro Ceria


’Super Wira’ bakal mengubah landskap penceritaan genre superhero di Malaysia dengan memperkenalkan gandingan nama-nama hebat seperti Beto Kusyairy, Nadhir Nasar, Idan Aedan serta Mira Filzah. Dalam memperkasakan kualiti kandungan, genre live action berelemenkan superhero merupakan kelainan berbeza yang dipersembahkan oleh Astro untuk tontonan seisi keluarga.

Penceritaan menerusi tujuh episod ini mengisahkan tentang sekumpulan manusia yang mempunyai kebolehan luar biasa iaitu Super Wira. Setiap daripada mereka mempunyai kuasa masing-masing kecuali Aman, anak kepada Kapten Gemilang yang mengetuai Super Wira. Dalam mencari potensi diri dan membuka kunci kuasanya yang terpendam untuk menyelamatkan ibunya yang ditangkap oleh penjahat bernama Roy, dia sedar bahawa kekuatan satu kuasa itu berbeza daripada apa yang dijangkakan.

Super Wira merupakan salah satu siri adiwira pertama yang mempunyai banyak unsur tradisional Melayu yang merangkumi silat sebagai sebahagian daripada gaya pertarungan Kapten Gemilang serta penggunaan cerita rakyat Naga Tasik Chini sebagai sebahagian daripada watak Mira Filzah yakni Seri Gumum.

‘Super Wira’ Siri Live Action Astro Ceria Pertama

Menurut Ketua Kandungan Kanak-Kanak Astro, Farah Fauzana Zainol Kamar, “‘Super Wira’ merupakan langkah penting untuk Astro Ceria dalam memberi kepelbagaian dalam sajian kandungan kami. Untuk memenuhi permintaan para penonton yang inginkan kandungan yang mencabar dan lain daripada lain, ‘Super Wira’ menjadi pertaruhan kami untuk kekal relevan dan berdaya saing dengan kompetitor-kompetitor dalam mahupun luar negara. Kami ingin membuktikan bahawa produksi tempatan mampu melakukan siri-siri genre superhero sepertimana yang dilakukan oleh produksi-produksi antarabangsa. Lagi mengujakan apabila siri ini melihat kombinasi lakonan hebat. Bayangkan Beto dan Nadhir bertarung dalam fight scenes yang menakjubkan. Malah kita akan melihat Mira Filzah dalam watak yang berbeza daripada kebiasaan. Selain daripada itu, kami juga memaparkan Idan Aedan yang mempunyai bakat lakonan yang hebat sebagai generasi pelapis di negara kita”.

“Kami berharap agar ‘Super Wira’ dapat mencetus fenomena baharu di kalangan dewasa, anak muda dan juga kanak-kanak. Jika ramai di antara kita merupakan peminat adiwira Marvel mahupun DC, masanya tiba untuk menjadi peminat adiwira tempatan iaitu ‘Super Wira’,” tambahnya lagi.

Super Wira Siri Live Action Astro Ceria Pertama

‘Super Wira’ merupakan siri berkonsepkan adiwira yang menggunakan elemen CGI untuk memberi impak realistik dalam pembikinan filem bergenre sci-fi fantasi. Penceritaan fiksyen ini menampilkan pelbagai sudut aksi daripada pelakon-pelakon yang hebat, seiring dengan minat golongan muda pada masa kini yang turut diselit inspirasi dan moral dengan tagline ‘Kuasa Itu Pilihan’.

‘Super Wira’ diterajui barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy sebagai ketua kumpulan iaitu Kapten Gemilang atau Johan, Idan Aedan sebagai Aman dan Nadhir Nasar sebagai antagonis yang bernama Roy. Siri ini turut dijayakan oleh Mira Filzah yang membawa watak sebagai Seri Gumum (Penjaga Kristal Kuasa Naga Tasik Chini), Ezzaty Abdullah sebagai Rose, Arena Wan sebagai Irena, Fadhli Masoot sebagai Wan dan juga Zizan Razak sebagai Awang Bunga.

Super Wira Siri Live Action Astro Ceria Pertama

‘Super Wira’ bakal menemui para penonton Astro mulai 23 Oktober setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. Alami pengalaman Astro Baharu. Strim tanpa gangguan hujan dengan Astro Ultra Box. Untuk melanggan Pek Primary, WhatsApp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838.