Gandingan Romantis Erysha Emyra dan Hun Haqeem Dalam Chinta Wrong Direction

Gandingan Romantis Erysha Emyra dan Hun Haqeem Dalam Chinta  Wrong Direction

Apabila dua jiwa yang larut dalam pergelutan hidup masing-masing bertembung, mereka membuka hati untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Begitulah penceritaan drama terkini Astro Ria, ‘Chinta Wrong Direction’ menampilkan pelakon baharu, Erysha Emyra sebagai Chinta yang hidup dalam kesengsaraan kejaman bapanya.

Chinta bertemu dengan Raja Akid, bosnya di tempat kerja baharu. Raja Akid bak lelaki sempurna; pandai bergaya dan kaya. Namun dia sebenarnya mempunyai trauma dengan golongan wanita yang berpunca daripada kisah keluarganya yang lampau. Kehadiran Chinta dalam hidupnya mengubah segala-galanya. Dari dua latar belakang berbeza, mereka saling melengkapi dan mengatasi kekurangan diri masing-masing.

‘Chinta Wrong Direction’ merupakan drama rom-com yang sarat dengan hubungan kekeluargaan dan konflik kasih sayang. Penceritaan daripada novelis popular, Norhayati Berahim ini juga disaluti unsur-unsur humor dalam memaparkan sisi-sisi romantik watak utamanya serta menyampai mesej dan jalan cerita yang dekat dengan masyarakat sebagai hiburan.

Hun Haqeem menerajui drama ini sebagai hero utamanya, Raja Akid, di samping Erysha Emyra yang membuat kemunculan pertamanya di slot Megadrama Astro. Pemenang tempat ketiga Dewi Remaja 2022, Kimberly Chuah turut tampil sebagai kawan rapat kepada Chinta, Candy. Manakala Raff Roslee memegang watak sebagai kawan rapat dan “pasangan” kepada Raja Akid iaitu Fuad.

‘Chinta Wrong Direction’ terbitan Juita Viden Sdn Bhd diarahkan oleh sutradara Hadith Omar ini akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 26 Jun 2023, jam 10.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.