Telefilem : Begitu Janji Tertulis
Produksi : Layar Consult Sdn Bhd
Pengarah : Sabri Yunus
Siaran : TV2
Tayangan : 2018
Durasi : 1 jam 30 minit
Pelakon : Khatijah Tan, Zamarul Hisham, Saidi Sabri, Puteri Hanan Shahidah, Bohari Ibrahim, Rashid Jaafar, Marup Mustapah, Mazran Abdullah
Begitu Janji Tertulis mengisahkan Mak Jah (Khatijah Tan) yang menerima tawaran mengerjakan haji tapi suaminya, Pak Akob (Rashid Jaafar) baru sahaja meninggal dunia. Sebelum meninggal, Pak Akob ada mewasiatkan salah seorang daripada anaknya untuk menggantikan tempatnya dan menemani Mak Jah ke Mekah.
Mak Jah dalam dilema kerana mempunyai konflik dengan anak bongsunya, Sahak (Saidi Sabri) manakala anak sulungnya, Ayub (Zamarul Hisham) yang tinggal dengannya memberi alasan tidak bersedia untuk ke sana. Hal ini kerana Ayub ketagih bermain judi sehingga mempunyai hutang bertimbun dan cuba menjual air ketum.
Sahak pula sudah tiga tahun tidak pulang ke rumah kerana Mak Jah menghalang minatnya untuk belajar dalam bidang seni halus, Mak Jah mahu Sahak belajar dalam bidang agama. Sahak tekad ke Indonesia untuk meneruskan impiannya tapi kemudian kembali bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan, dalam masa yang sama juga dia menjadi penulis.
Konflik yang berlaku antara seorang ibu dan anak-anaknya. Mak Jah memaksa anak-anaknya untuk belajar bidang agama tanpa cuba memahami minat sebenar mereka. Ayub minat untuk menjadi mekanik tapi kerana dipaksa belajar agama, Ayub nekad melarikan diri dari sekolah dan terus hanyut dalam dunianya tanpa ada hala tuju masa depannya. Begitu juga dengan Sahak, impiannya ditentang oleh Mak Jah menyebabkan dia langsung tidak pulang menjenguk ibu bapanya.
Kesimpulannya, sekeras mana pun hati ibu bapa tapi jauh di sudut mengharapkan kepulangan anaknya. Marah macam mana sekali tapi bila anak-anak pulang terus akan diterima dengan hati terbuka.